Home » , » Saksikan Filem Penuh Dengan Perkara Ajaib

Saksikan Filem Penuh Dengan Perkara Ajaib

Written By Unknown on Saturday, March 9, 2013 | 9:45 PM

Filem fantasi sering dikaitkan dengan imaginasi seorang gadis mengenai perkara ajaib dan indah seperti filem Alice In Wonderland.

Namun, berbeza dengan filem OZ: The Great and Powerful, pengarahnya, Sam Raimi meletakkan aktor, James Franco sebagai teraju utama penceritaan filem berkenaan.

Masih mengekalkan alam fantasi dan dunia magika seperi Alice In Wonderland, filem yang turut membariskan pelakon seperti Mila Kunis, Rachel Weisz, dan Michelle Williams ini tidak bersandarkan cerita fantasi semata-mata.

Sebaliknya, ia banyak menyelitkan mesej berguna kepada penonton.

Pemilihan Franco sebagai teraju utama juga amat bertepatan. Dengan wajah yang kacak dan gaya yang bersahaja, Franco berjaya mengemudi cerita sepanjang 130 minit ia ditayangkan.

Sikapnya yang kaki perempuan, suka menipu dan mementingkan diri sendiri membuatkan ada kalanya Oz seperti seorang lelaki yang menjengkelkan.

Paling penting, di sebalik sikap negatifnya itu, Oz pandai menggunakan tipu helahnya dengan cara yang bijak. Selain itu, masih terselit sikap murni dalam diri Oz seperti rasa prihatin, baik hati dan penyabar.

Apatah lagi, perkenalan Franco selaku Oz yang selama ini tidak mempercayai persahabatan, mula berubah sedikit demi sedikit sebaik berkenalan dengan monyet yang pandai terbang bernama Finley.

Anda pastinya akan tercuit hati melihat gaya Finley sebagai monyet suruhan yang sangat setia pada tuannya dan kadang kala melucukan dengan aksinya yang bersahaja, bagi menarik perhatian Oz.

Keindahan sinematografi

Perkara paling menarik dalam filem ini adalah keindahan sinematografinya. Raimi bertindak bijak apabila bermain dengan warna hitam putih pada permulaan cerita.

Namun, sebaik Oz masuk ke alam lain selepas 'disedut' oleh puting beliung, warna-warna menarik mula bermain di layar sekali gus memberi mood yang segar.

Apatah lagi, jika anda menonton dengan teknologi tiga dimensi (3D), anda pasti kagum dengan pergerakan warna dan segala-gala yang bergerak di dalam filem ini.

Kisah ahli sihir

“Oz: The Great And Powerful” ialah sebuah filem Disney yang diarah Sam Raimi. Filem ini berkisarkan asal-usul karakter ciptaan L Frank Baum, ‘Wizard of Oz’.

Apabila Oscar Diggs (James Franco), seorang ahli silap mata sarkas dengan etika yang diragui, dilontar dari Kansas ke ‘Land of Oz’, dia berasa sungguh bertuah sekali.

Tetapi dia bertemu dengan 3 orang ahli sihir perempuan, Theodora (Mila Kunis), Evanora (Rachel Weisz) dan Glinda (Michelle Williams) yang tidak percaya Oscar ialah ahli sihir terhebat.

Oscar mula terlibat dengan masalah epik yang melanda ‘Land of Oz’ dan penghuninya. Oscar mesti menyiasat siapa mempunyai motif baik dan siapa mempunyai motif buruk sebelum kehabisan masa.

Dia menggunakan ilmu silap matanya: ilusi, kepintaran dan juga sedikit ilmu sihir untuk mengubah diri sendiri kepada ‘Wizard of Oz’ yang berkuasa. Dia juga mengubah dirinya kepada seorang manusia yang lebih baik.

Bagi mengetahui kesudahan cerita ini, jangan lupa saksikan filem Oz: The Great and Powerful di pawagam bermula 7 Mac lalu.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .