JOHOR BAHRU - Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini mengarahkan Jabatan Agama Islam Johor supaya mengadakan solat hajat di semua masjid di negeri ini bagi memohon pertolongan dan kurniaan daripada ALLAH S.W.T
berhubung isu pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah.
berhubung isu pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah.
Sultan Ibrahim bertitah solat berkenaan perlu dilakukan selepas solat Jumaat esok dan selepas solat Maghrib setiap hari bagi memohon keselamatan anggota polis, tentera dan agensi keselamatan agar terus terpelihara.
Baginda juga berharap agar isu pencerobohan itu dapat diselesaikan dengan segera bagi mengembalikan ketenteraman hidup rakyat Sabah dan kedaulatan negara.
"Beta juga berharap seluruh rakyat di negeri ini menunaikan solat hajat di rumah masing-masing. Marilah kita bersama-sama berdoa supaya isu ini (pencerobohan) dapat diselesaikan dengan segera," titah baginda kepada pemberita di Istana Pasir Pelangi, di sini hari ini.
Sultan Ibrahim juga berharap, semua anggota keselamatan sentiasa berhati-hati dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang mencabar ketika ini dan yakin kesemua mereka juga mempunyai semangat juang yang tinggi.
Baginda turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga anggota polis yang terkorban di Lahad Datu dan Semporna dan berdoa semoga roh wira negara itu dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang beriman.
Menurut Sultan Ibrahim, kehilangan seorang daripada anggota polis yang terkorban iaitu Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, turut dirasai anakanda baginda, Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil.
Titah baginda, Tunku Abdul Jalil yang merupakan Inspektor polis adalah kenalan Allahyarham Mohd Azrul dan amat rapat ketika mereka bersama-sama menjalani latihan kepolisan di Ulu Kinta, Perak.
Ditanya mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menegaskan Kuala Lumpur tidak akan menimbang sebarang permintaan gencatan senjata selagi kumpulan penceroboh militan tidak meletak senjata tanpa syarat, Sultan Ibrahim bertitah Najib mengetahui apa yang terbaik untuk menyelesaikan isu itu.
"Perdana Menteri tidak ambil ringan tentang perkara ini dan dia tahu apa yang terbaik mengenainya," titah baginda. - Bernama
0 ulasan:
Post a Comment