Home » , » Apa Sudah Jadi - Penjurian Pula Di Persalahkan

Apa Sudah Jadi - Penjurian Pula Di Persalahkan

Written By Unknown on Monday, February 25, 2013 | 10:09 PM


SETELAH berdepan dengan pelbagai konflik dan penangguhan di sepanjang pelaksanaan Festival Filem Malaysia ke 25 (FFM25), akhirnya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengumumkan tarikh keramat itu.

FFM25 yang bakal berlangsung pada 2 Mac depan, turut menampilkan kelainan apabila pertama kalinya diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dalam sidang media pengumuman tarikh itu, ia turut dihadiri barisan pelakon, penerbit dan pengarah filem yang berjaya disenaraikan dalam setiap kategori.

Menerusi sesi soal jawab bersama media, penerbit eksekutif filem, Hantu Gangster, Fred Chong, tampil bertanya kepada Finas mengenai kelayakan atau kriteria sesebuah filem untuk dipertandingkan.
Menjawab pertanyaan itu, Pengerusi Finas, Datuk Md Afendi Hamdan, berseloroh untuk menghasilkan satu kategori khas, Filem 1 Malaysia Terbaik, pada FFM akan datang.

Menganggap perkara itu tidak menjawab soalan, Fred yang juga penerbit filem, Nasi Lemak 2.0, melahirkan rasa kecewa kerana filem Hantu Gangster hanya dipertandingkan dalam kategori picisan sahaja.

"Sebelum ini, filem Nasi Lemak 2.0, gagal mendapat pencalonan kerana filem itu kurang menggunakan dialog bahasa Melayu. Namun menerusi filem ini, kami menggunakan kepelbagaian bahasa dan Bahasa Melayu melebihi 60 peratus.

"Lagipun, filem ini bercorak 1 Malaysia dan semua kaum terlibat. Kenapa filem ini langsung tidak berjaya dicalonkan dalam mana-mana kategori besar seperti Pengarah Terbaik atau Pelakon Terbaik?

"Saya mahu tahu, kriteria apakah yang membolehkan filem itu dicalonkan?," soal Fred.

Ulang nasib 'Nasi Lemak 2.0'

Filem arahan pengarah kontroversi, Namewee, ini hanya dicalonkan dalam empat kategori termasuk Pereka Kostum/Busana Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Lagu Tema Terbaik.
Pun begitu, Fred tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi mana-mana kategori yang dipertandingkan.

"Saya rasa, filem ini tak akan menang dalam mana-mana kategori. Dari awal lagi saya sudah nampak ketidaktelusan dari pihak penjurian.

"Saya sendiri tidak tahu kenapa filem sebegini dipandang sebelah mata. Ia mungkin berhadapan nasib yang sama seperti filem terdahulu, Nasi Lemak 2.0, yang mendapat pengiktirafan di luar negara sahaja.

"Bagi saya, filem ini mempunyai jalan cerita yang bagus dan boleh dinobatkan sebagai filem terbaik di Malaysia," tegasnya.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .