Home » , » I Dah Sedia Nak Kahwin - Fazura

I Dah Sedia Nak Kahwin - Fazura

Written By Unknown on Tuesday, February 26, 2013 | 9:00 PM


BERTEMU bintang Gol dan Gincu ini di majlis pelancaran sebagai duta terbaru Colgate adalah satu kesempatan untuk mencungkil rahsia hatinya yang sering dipendam.
Lebih-lebih lagi model jelita ini mengakui tidak suka berkongsi kisah peribadinya dengan umum.

Namun, apabila diaju pertanyaan, benarkah dia sudah berkahwin secara diam-diam, lantas empunya diri tersenyum dan tergelak.

Jelas pemilik nama Nur Fazura Sharifuddin atau lebih dikenali sebagai Fazura ini, sememangnya sudah berniat untuk mengakhiri zaman solo apabila usianya mencecah 30 tahun.
"Ia bukan bermakna saya sudah berkahwin tetapi memang saya berazam untuk kahwin ketika berumur 30 tahun dan tahun ini genaplah angka tersebut," katanya.

Pun begitu, kata Fazura, dia berharap ianya menjadi kenyataan dan peminat juga mendoakan impiannya itu tercapai.

"Doakan yang terbaik untuk saya," kata pelakon filem Pisau Cukur ini.

Ditanya adakah dia akan terus aktif sekiranya sudah memegang status isteri, kata Fazura, dia harus mengotakan janji yang dibuat kepada ibunya sebelum ini iaitu akan meninggalkan dunia lakonan jika berkahwin nanti.

"Saya sudah berjanji dengan ibu akan berhenti berlakon jika berkahwin. Bagi saya inilah pengorbanan seorang isteri kepada suami," katanya.

Dalam pada itu jelas Fazura, sekiranya bakal suaminya seorang pelakon, lelaki itu juga perlu berhenti daripada bidang tersebut.

"Kami sama-sama perlu fokus kepada rumah tangga dan saya juga percaya bahawa ini adalah salah satu cara saya hormati dia," katanya yang tetap berhenti berlakon meskipun bakal suaminya itu ahli perniagaan atau sesiapa sahaja.

Elak bersentuhan

Meskipun agak sunyi di layar perak dan skrin, bukan bererti aktres ini sudah menamatkan kariernya dalam bidang seni, sebaliknya dia masih berminat meneruskan kerjaya seninya seperti biasa.
Bagaimana pun, ujarnya, dia perlu memastikan setiap tawaran yang diterima tidak mempunyai babak romantis yang memerlukan dia berpegangan tangan bersama lelaki, babak di atas katil mahu pun yang boleh mendatangkan ketidakselesaan kepada keluarganya.

"Saya memang mahu mengelakkan adegan begini, bagaimana pun, jika ia tidak melampau saya masih boleh menerimanya.

"Misalnya, dalam drama terbaru saya, Kisah Cinta, ada adegan pegang tangan bersama Shahiezy Sam tetapi tidaklah terlalu lama.
"Lagi pun, dalam drama itu ianya perlu kerana mahu wujudkan suasana romantis antara kami," katanya hanya berlakon jika karakter yang ditawarkan sesuai dengannya.

Buat 'comeback'?

Berkongsi perkembangan kariernya, Fazura berkata, tahun 2013 bakal menyaksikan dia kembali aktif dalam industri seni.

Menjelaskan mengenai perkara itu, katanya, ia bukanlah kerana dia mahu membuat comeback, sebaliknya, rezekinya tiba-tiba mencurah tahun ini.

"Nak kata saya buat comeback tu, tidaklah, cuma rezeki saya sangat murah tahun ni. Mungkin sebelum ni banyak tawaran ditolak sebab watak yang kurang sesuai, tetapi tahun ini rata-rata tawaran yang diterima memang kena dengan saya," katanya mahu buat yang terbaik tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Fazura juga bakal muncul dalam filem Kami Histeria, September nanti dan sedang sibuk menjalani penggambaran Manisnya Cinta bergandingan bersama Nazim Othman dan Shahiezy Sam.

Mengulas mengenai pelantikannya sebagai duta Colgate pula, tuturnya, dia bersyukur kerana syarikat gergasi itu memberi kepercayaan kepadanya menjadi juru cakap.
"Saya sudah lama menggunakan produk ini dan tidak salah saya menerimanya.

"Lagi pun, saya mahu memberi inspirasi kepada peminat dan masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kesihatan gigi," katanya yang akan bertemu doktor gigi enam bulan sekali bagi membuat pemeriksaan.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .