Ketika ditemui Sinar Harian Online semalam, beliau tetap mempamerkan riak teruja dan bimbang terhadap filem terbarunya, Gangster Celop meskipun sudah menghasilkan 26 filem sebelum ini.
“Sekarang ini, saya sedang menunggu dengan penuh debaran, filem terbaru saya yang akan mula tayang pada 21 Februari ini iaitu Gangster Celop,” katanya.
Gangster Celop merupakan hasil kolaborasi pertama syarikatnya, Excellent Pictures dengan Skop Productions.
Sementara itu, Idham dilihat sering menggunakan muka baru untuk filem-filem arahannya.
Kali ini, seorang blogger, Hanis Zalikha menjadi teraju utama dalam filem Gangster Celop di samping Kamal Adli dan Syamsul Yusof.
“Bagi saya, penerbit-penerbit harus memberi ruang dan peluang kepada pendatang baru. Kalau semua orang tidak berani mencuba, saya rasa di mana kita nak menggilap bakat baru.
“Bagi yang sudah biasa dengan saya, saya cenderung memberi peluang dan ruang kepada pendatang baru yang mana saya rasa sesuai dengan setiap watak ataupun karakter yang saya nak hasilkan,” katanya.
Gangster Celop merupakan filem pertama Hanis setelah mula dikenali menerusi beberapa program TV.
Idham berpendapat bahawa peluang yang diberinya kepada Hanis sebagai ruang untuk pelakon itu mencuba.
“Untuk orang baru, dia tidak gagal. Walaupun ada beberapa kenyataan yang mengatakan bahawa lakonan dia ‘under’, bagi saya setiap orang harus ada tempat untuk langkah pertamanya.
“Kita tak boleh mengharap, setiap langkah pertama itu dia akan terus menjadi seorang yang sempurna, saya rasa tak pernah berlaku. Malah kalau kita tengok balik cerita saya mula-mula berlakon dulu, saya pun malu tengok,” katanya.
Menyentuh tentang maklum balas awal yang diterimanya selepas tayangan perdana baru-baru ini, Idham menjelaskan.
“Berdasarkan tayangan perdana dan beberapa tayangan kepada penonton, nampaknya mereka terkejut dengan hasil Gangster Celop itu kerana komedi di dalamnya di luar jangkaan mereka.
“Pada dasarnya nampak dah berjaya tetapi kami tertunggu-tunggu juga 21 Februari ini apabila ia mula ditayang di pawagam,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Idham juga sedang menyiapkan filem aksi akan datangnya berjudul Lari.
“Saya sedang menyiapkan post produksi untuk filem Lari. Insya-ALLAH akan berada di pawagam pada 6 Jun ini. Itu kolaborasi saya dengan pihak Thailand.
“Saya sasarkan filem ini dapat dijual di peringkat antarabangsa. Filem ini menjurus ke arah isu pemerdagangan manusia. Saya menggunakan hampir 40 peratus aksi dari luar negara dibawa masuk ke dalam filem saya,” katanya.
0 ulasan:
Post a Comment